Pameran VR Rumah Melayu Tradisional Terengganu

VR
Pameran VR Rumah Melayu Tradisional Terengganu pentadbir laman 22 October 2021
PENGENALAN

Pameran VR Rumah Melayu Tradisional Terengganu

Rumah Melayu tradisional sebahagian daripada warisan seni bina bangsa Melayu yang sangat bernilai. Rumah ini dibina untuk memperlihatkan betapa mahir dan kreatifnya mereka dalam bidang seni bina. Reka bentuknya dibina mengikut keperluan semasa, keadaan cuaca, dan penggunaan bahan binaan dengan memaparkan kebijaksanaan dalam penggunaan serta keluasan ruang mengikut keperluan semasa.

Setiap rumah Melayu tradisional mempunyai ciri-cirinya yang tersendiri. Walaupun reka bentuk rumah Melayu tradisional tidak seperti rumah moden, namun ciri-ciri keselesaan tetap dititikberatkan sejak dahulu lagi. Misalnya, mengambil kira faktor budaya, iklim setempat, teduhan, pengudaraan, pencahayaan, dan ciri-ciri asas yang lain. Bentuk rumahnya pula berbeza dan pelbagai mengikut setiap negeri, wilayah dan juga subetnik.

Di negeri Terengganu terdapat beberapa bentuk rumah tradisional. Salah satunya dipanggil Rumah Limas Bungkus. Struktur rumah ini dikenali berdasarkan bumbung rumahnya yang terdiri daripada sebuah perabung lurus dan bersambung  dengan  empat buah perabung yang turun ke cucuran atap yang dihiasi dengan ukiran kerawang kayu. Rumah jenis ini mempunyai beberapa bentuk daripada bentuk panjang dan bersegi empat tepat. Ruangnya pula terdiri daripada ruang anjung, beranda, rumah tengah dan dapur.

Seni bina rumah tradisional Melayu Terengganu yang ditampilkan menerusi ciri VR ini dikaitkan dengan sifat kreatif masyarakat Melayu serta hubungan mereka yang sangat erat dengan alam sekitar. Di negeri Terengganu, bentuk rumah melambangkan corak budaya bangsa si pemiliknya. Antara faktor yang mempengaruhi seni bina rumah Melayu Terengganu adalah faktor iklim, agama Islam, social dan alam sekitar. Iklim merupakan faktor utama yang mempengaruhi bentuk seni bina rumah tradisional Melayu Terengganu. Faktor agama Islam menyebabkan rumah didirikan mengikut arah kiblat dan ruang antara kaum lelaki dan perempuan dipisahkan. Faktor iklim pula menyebabkan sebahagian besar rumah Melayu tradisional ini dengan lantainya tinggi daripada permukaan tanah yang dapat mengatasi kelembapan tanah. Selain itu, ia dapat mencegah ruang di dalam rumah ditenggelami air jika berlaku banjir.

Parit Jawa, Johor, Malaysia - 6 July 2016, Happy children enjoying the Hari Raya Balik Kampung celebration after the fasting month Ramadan at a traditional Malay kampung house.

Sumber: Rafizah ismail.Shutterstock.com

Putarkan telefon anda ke mod landscape  dan klik Fullscreen

Sumber : Aznan / Shutterstock.com

Rumah Melayu Tradisional Terengganu

Rumah tradisional atau juga dikenali Rumah Melayu tradisional adalah sebahagian daripada warisan seni bina Malaysia yang sangat bernilai. Ianya telah direka bentuk dan dibina oleh orang kebanyakan yang memperlihatkan betapa mahir dan kreatifnya mereka dalam bidang seni bina. Ia memaparkan kebijaksanaan dalam penggunaan dan perluasan ruang mengikut keperluan semasa, mengadaptasi cuaca dan penggunaan bahan binaan.

Setiap rumah tradisional mempunyai ciri-cirinya yang tersendiri. Walaupun reka bentuk rumah Melayu tradisional tidak seperti rumah moden, namun ciri-ciri keselesaan tetap dititikberatkan sejak dahulu lagi. Rumah tradisional Melayu misalnya, mengambil kira faktor budaya, iklim setempat, teduhan, pengudaraan, pencahayaan, dan ciri-ciri asas yang lain. Bentuk rumahnya pula berbeza dan pelbagai mengikut setiap negeri, wilayah dan juga sub-etnik.