Home PNMVR3 pentadbir laman 14 December 2022

Latar Belakang

Ilmu mengenai pembinaan rumah Melayu tradisional telah terakam sejak ratusan tahun dahulu dalam pelbagai naskhah manuskrip Melayu “Petua Membina Rumah” yang tersimpan dalam koleksi Perpustakaan Negara Malaysia.

Pembinaan rumah masyarakat rumpun Melayu bersumberkan petua dan ilmu yang terdapat dalam naskhah asal manuskrip tersebut. Lebih mengagumkan, orang Melayu turut merujuk dan mengguna pakai manuskrip Melayu dalam disiplin yang lain seperti ilmu kosmologi, sains dan teknologi, agama, kebudayaan dan sebagainya bagi memperincikan ruang dan sudut rumah yang dibina.

Pembangunan VR dan AR rumah Melayu tradisional yang dipaparkan menerusi laman web ini diharap dapat mempromosi dan mengetengahkan manuskrip Melayu sebagai produk pelancongan ilmu (knowledge tourism) di samping mendedahkan kepada generasi kini tentang kehebatan dan kebijaksanaan masyarakat Melayu zaman silam dalam ilmu tradisional pembuatan rumah. Rumah Melayu tradisional yang dipaparkan dalam laman web ini diinspirasikan daripada reka bentuk dan seni bina model rumah Melayu di Taman Mini Malaysia dan Asean, Ayer Keroh Melaka selain rujukan daripada sumber-sumber lain.

TUJUAN PROJEK

Objektif

1

Mengetengahkan ilmu pengetahuan tentang petua membina rumah Melayu tradisional menerusi aplikasi VR dan AR kepada masyarakat.

2

Menggalakkan kajian dan penyelidikan naskhah manuskrip Melayu berkaitan seni bina dan petua membina rumah Melayu tradisional.

3

Meningkatkan kecintaan dan apresiasi terhadap manuskrip Melayu.

4

Sebagai wadah pembelajaran kepada masyarakat secara lebih interaktif bagi penjanaan ilmu yang berterusan.

Sumber: Aznan. (2018). Rumah Penghulu Abu Seman or Village Chief House. Interior view of a traditional Malay house. [Photograph].

VR RUMAH MELAYU TRADISIONAL

Lawatan maya (virtual tour) rumah Melayu tradisional Terengganu dipaparkan menggunakan video panorama 360 darjah yang dibangunkan melalui platform berasaskan web. Setiap bahagian/ruang rumah tersebut akan disertakan dengan paparan maklumat dan gambar manuskrip Melayu daripada koleksi Perpustakaan Negara Malaysia. 

Antara manuskrip Melayu yang dipaparkan ialah Petua Membina Rumah, al-Quran, Kitab Solat, Pengurusan Jenazah, Sakarat Al-Maut, Kitab Nikah dan Ilmu Falak serta beberapa terbitan lain turut dijadikan sebagai sumber rujukan.

AR RUMAH MELAYU TRADISIONAL

Lima (5) jenis rumah Melayu tradisional telah dibangunkan sebagai objek AR iaitu rumah Melayu Kedah, Terengganu, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor dalam laman web ini. 

Reka bentuk rumah Melayu tradisional ini dibangunkan secara paparan 3D iaitu 360 darjah. Teks penerangan rumah tersebut boleh diakses menerusi imbasan QR Code yang disediakan.