PENGENALAN
Pameran AR Rumah Melayu Tradisional
Lima (5) jenis rumah Melayu tradisional telah dibangunkan sebagai objek AR iaitu rumah Melayu Kedah, Terengganu, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor dalam laman web ini. Reka bentuk rumah-rumah Melayu tradisional ini dibangunkan secara paparan 3D iaitu 360 darjah dan teks penerangan rumah-rumah tersebut boleh diakses menerusi imbasan QR Code yang disediakan.
Rumah Melayu Tradisional
Rumah Kedah
Rumah orang-orang Melayu Kedah biasanya mempunyai serambi, rumah ibu, rumah tengah dan dapur. Bumbung yang kebiasaannya terdapat ialah bumbung perak dan juga bumbung panjang. Keistimewaan rumah-rumah ini juga terletak pada kehalusan ukiran bunga kerawang dan ruang-ruangnya iaitu beranda, rumah ibu, anjung, ruang tengah, selang, dapur dan pelantar.
Rumah Terengganu
Rumah tradisional Terengganu ialah rumah bujang berselasar (serambi) mempunyai keunikan tersendiri. Ia biasanya diperbuat daripada kayu cengal berlantaikan kayu seraya, bertiang 12 manakala lantainya berpasak dan berselak. Rumah bujang berselasar lazimnya berbumbung panjang dengan papan pemeleh dan beralas atap singgora. Secara tidak langsung, ia memberi tekstur menarik selain identitinya turut terletak pada struktur tiang dan ruang selasar, rumah ibu dan dapur. Sesuai dengan namanya bujang, rumah ini tidak mempunyai bilik sebaliknya hanya mempunyai ruang luas (rumah ibu). Ini kerana masyarakat Melayu mementingkan perjumpaan atau berkumpul untuk majlis keramaian dan keagamaan.
Rumah Negeri Sembilan
Rumah tradisional di Negeri Sembilan terkenal dengan reka bentuk bumbungnya yang melentik di hujung, di mana reka bentuk ini menyamai rumah Minangkabau. Hal ini kerana kebanyakan orang di Negeri Sembilan berasal dari Minangkabau. Kebanyakan rumah tradisional Negeri Sembilan dibina tanpa menggunakan sebarang paku. Teknik ini dipanggil teknik pasak dan tanggam.
Bermula dengan serambi rumah atau ruang tamu. Bahagian kedua dalam rumah Negeri Sembilan adalah rumah ibu. Seterusnya adalah ruang loteng yang merupakan tempat simpanan barang-barang dan ruang ini terletak di rumah ibu. Antara bahagian rumah yang lain adalah kolek anak. Bumbung rumah ini mempunyai reka bentuk yang rata dan bahagian hujung yang melentik. Rekaan dinding rumah Negeri Sembilan pula mempunyai variasi mengikut kemampuan masyarakat yang ingin membina kediaman mereka. Antara jenis dinding sering ditemui pada rumah tradisional di Negeri Sembilan ialah dinding sisik tenggiling, papan tengah berlidah, papan serong berlidah, apit-apit, pelupuh, anyam beremban dan kulit kepong.
Rumah Melaka
Rumah tradisional Melaka menjadi lambang kedudukan pemiliknya termasuk ketinggian peribadi dan jati diri mereka. Kebanyakan rumah tradisional di Melaka dibina menggunakan kayu terbaik dan terpilih dengan konsep rumah bertiang, berlantai tinggi dari tanah, berbumbung lipat kajang dan bertebar layar. Kayu yang sering digunakan ialah meranti, cengal, belian, resak, tembusu dan merang. Keindahan dan keunikan seni bina rumah-rumah itu juga dianggap sebagai bayangan reka bentuk Istana Kesultanan Melaka pada abad ke-15.
Rumah Johor
Bentuk rumah Melayu tradisi yang banyak ditemui di negeri Johor adalah campuran warisan bentuk rumah tradisi Jawa, Bugis, Banjar, Palembang dan keturunan lain daripada rumpun bangsa Melayu di Kepulauan Melayu. Bentuk rekaan yang terkenal ialah rumah bumbung limas yang berkembang secara pesat bermula pada abad ke-19. Kebanyakan reka bentuk rumah limas di negeri Johor menyerupai rumah tradisional orang-orang Palembang. Bentuk awal rumah limas ini dikenali sebagai limas perabung lima, iaitu bumbungnya memakai lima buah perabung, terdiri satu perabung terus mendatar bersambung dengan empat perabung menurun ke cucur atap. Binaan bumbung berbentuk piramid ini dipanggil limas.
Previous
Next